Mendidik anak agar cintakan masjid



​​

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Februari. - Bulan suci Ramadan kembali menyinari umat Islam, membuka ruang untuk meningkatkan amal ibadah serta menyemai nilai kesabaran dan keinsafan dalam diri setiap individu.


Pada bulan yang penuh keberkatan ini, setiap detik dimanfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan serta memperkukuh hubungan sesama kita. Ramadan bukan sahaja bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga kesempatan untuk mendidik jiwa dan membentuk akhlak terpuji.


Dalam suasana penuh rahmat ini, ibu bapa turut mengambil kesempatan mendidik anak-anak agar lebih dekat dengan masjid dan menanamkan rasa cinta terhadap rumah Allah Subhanahu Wata'ala sejak usia muda.


Justeru, masjid menjadi destinasi utama keluarga untuk menunaikan solat fardu dan solat sunat Tarawih secara berjemaah. Di masjid-masjid sudah mula mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti seperti Tadarus Al-Quran dan program khas kanak-kanak bagi menarik minat golongan muda.


Kehadiran kanak-kanak ke masjid perlu digalakkan secara berhemah agar mereka berasa dihargai dan terdorong untuk terus mendekati ilmu agama sekali gus mempelajari perkara baharu.


Ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan memberi tunjuk ajar tentang adab berada di masjid, selain menjadi contoh teladan dalam menunaikan ibadah secara berterusan.


Pembentukan minat terhadap masjid perlu dipupuk agar ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup anak-anak. Marilah kita sama-sama mewujudkan suasana mesra keluarga agar masjid kekal menjadi wadah pengimarahan keluarga dan juga masyarakat.


Semoga Ramadan kali ini menjadi titik permulaan dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja rajin beribadah, malah sentiasa memakmurkan masjid sebagai nadi kehidupan umat Islam.


Close